Sebarang pertanyaan sila kemukakan di ruang komen. Terima Kasih :)

Monday, November 14, 2016

Persekitaran Fizikal & Atmosfera


1.      Huraikan maksud persekitaran fizikal.

Persekitaran bermaksud ruang di mana unsur didapati dalam sesuatu masa sama ada ruang fizikal ataupun ruang social. Manakala, persekitaran fizikal pula bermaksud sesuatu yang terjadi tanpa ada campur tangan daripada manusia seperti laut, gunung, sungai, hutan dan banyak lagi. Sebagai contoh tempat yang masih terpelihara kekayaan hasil alam sekitarnya tanpa ada campur tangan manusia ialah Taman Negara Bako dimana Taman Negara tersebut memiliki persekitran yang sangat menarik seperti tanjung yang tinggi serta cenuram curam yang menghadap Laut Cina Selatan dan hutan di Taman Negara tersebut memiliki pelbagai jenis flora dan fauna yang terdapat di Borneo.


2.      Apakah pembahagian utama dalam persekitaran fizikal.

Pembahagian utama dalam persekitaran fizikal ada 4 komponen atau unsur iaitu atmosfera (udara), litosfera (tanih), hidrosfera (air), dan  biosfera (flora dan fauna) yang dikenali sebagai sfera. Keempat-empat unsur tersebut hendaklah disusun dan dikategorikan agar memudahkan kita untuk memahaminya dengan lebih mudah. Lingkungan di mana unsur-unsur itu didapati digelar sebagai sfera. Setiap unsur tidak akan berinteraksi secara sendirian tetapi unsur tersebut akan saling berinteraksi antara satu sama lain.

Rajah 1: Interaksi antara Empat Komponen atau Unsur Persekitaran Fizikal

Sebagai contoh, atmosfera yang mempunyai beberapa faktor yang menguasainya. Atmosfera merupakan bahagian bumi yang mengandungi udara dan terdiri daripada pelbagai gas. Gas-gas yang terdapat di dalam atmosfera adalah terdiri daripada gas nitrogen (78%), oksigen (20.9%), argon (0.9%), karbondioksida (0.03%) dan gas-gas lain.


Rajah 2: Peratus Gas yang Terdapat dalam Atmosfera

Malah terdapat gas yang mempunyai sifat yang boleh mengembang dan menguncup di dalam unsur tersebut. Dengan adanya ciri gas yang bersifat mengembang dan menguncup di dalam atmosfera maka terhasilah tekanan udara yang tinggi dan rendah. Apabila tekanan udara berada dalam keadaan tinggi dan rendah maka akan menghasilkan angin. Angin yang dihasilkan akan membawa lembapan udara yang akan turun menjadi kerpasan iaitu hujan. Jika tiada angin keadaan di permukaan bumi akan menjadi kering, tidak hujan dan kemarau.

3.      Apakah dimaksudkan dengan cuaca, apakah dimaksudkan dengan iklim?

Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4 (2007), cuaca ditakrifkan sebagai keadaan udara (cahaya matahari, angin, hujan dan sebagainya) di sesuatu tempat pada ketika tertentu. Cuaca adalah keadaan atmosfera dalam jangka masa yang pendek iaitu dalam bebarapa jam antara 5 hingga 27 jam. Sebagai contoh cuaca di Tanjung Malim pada 22 September 2016 jam 12.00 tengahari hingga 5.00 petang dalam keadaan redup dan bersuhu 32°C. Namun begitu cuaca juga boleh bertukar dengan cepat seperti cuaca pada waktu tengahari berbeza dengan waktu petang. Hal ini kerana, cuaca boleh juga bertukar dalam masa beberapa jam sahaja daripada panas tiba-tiba bertukar kepada redup dan hujan pada sebelah petang.
Manakala Iklim pula ditakrifkan sebagai keadaan cuaca (hujan, suhu, angin dan sebagainya) yang biasa di sesuatu tempat. Iklim adalah bilamana keadaan atmosfera dalam jangka masa yang panjang iaitu selama 30 tahun mengikut tahun kalendar. Di Malaysia, keadaan cuaca adalah dalam keadaan panas dan lembap. Setiap tempat memiliki iklim yang bebeza seperti suhu yang tinggi, hujan yang kurang dan anginnya yang kering. Namun begitu, Malaysia terletak di kawasan khatulistiwa antara garisan lintang 0° hingga 10° utara dan selatan garisan khatulistiwa di mana kawasan tersebut mengalami iklim tropika lembab. Iklim di Malaysia  mempunyai 2 komponen penting iaitu hujan dan suhu. Malaysia mengalami hujan sepanjang tahun iaitu sebanyak 2032 mm dan bersuhu antara 23°C hingga 33°C.

4.      Huraikan cara hujan perolakan dihasilkan.

Hujan merupakan air yang turun dari atmosfera ke permukaan bumi. Terdapat beberapa jenis hujan iaitu hujan perolakan, hujan bukit dan hujan perenggan. Hujan perolakan terhasil apabila matahari memanaskan udara di permukaan bumi dari pagi hingga ke petang. Udara panas akan mengembang dan naik ke atas kerana udara lebih ringan daripada udara disekelilingnya. Kejadian ini dinamakan perolakan. Udara itu akan naik beberapa ribu meter daripada permukaan bumi dan berlakulah pemeluwapan iaitu udara bertukar menjadi awan yang berbentuk cendawan.. Awan berbentuk cendawan tersebut dinamakan sebagai awan kumulonimbus. Lama-kelamaan awan tersebut akan bertukar menjadi hujan yang lebat. Hujan perolakan kerap berlaku pada waktu petang sekitar jam 4.00 hingga 5.00 petang yang disertakan dengan kilat dan petir. Hujan tersebut biasanya turun dalam kawasan yang kurang daripada 50km persegi dan mengambil masa tidak lebih daripada 6 jam untuk turun.


Rajah 3: Proses Pembentukan Hujan Perolakan